Iktibar Kemenangan Hamas

20 03 2008

Assalamualaikum Wrt Wbt,

Rencana ini bertujuan memperjelaskan bagaimana HAMAS mempertahankan kemenangan mereka dalam Piliharaya Legislatif Palestin pada bulan Januari 2006.Banyak iktibar yang boleh di ambil apabila HAMAS terus menerajui kerajaan (meskipun kuasanya kini terbatas di jalur Gaza) walaupun diasak oleh musuh-musuh politik yang bersekongkol dengan regim zionis dan Amerika.

Sebab prinsipal kenapa HAMAS masih berada di tampuk pemerintahan sehingga kini ialah sokongan rakyat yang tetap utuh meski berdepan dengan sekatan antarabangsa dan kepungan yang melumpuhkan sama sekali ekonomi dan kehidupan seharian rakyat Palestin. Apakah pendekatan yang diambil oleh HAMAS sehingga rakyat sendiri yang mempertahankan kerajaan ini?

ap_palestinians_ismail_haniye_195_12mar08.jpg


1. Pimpinan dan aktivis HAMAS tidak terpisah dari kehidupan rakyat marhaen.
Bahkan mereka hidup di kalangan pelarian di kem-kem pelarian rakyat Palestin seperti di Khan Younis, Rafah dan Jabaliya. Rumah Syeikh Ahmad Yassin as-syahid juga juga tidak dapat dibezakan dari penduduk Palestin yang lain, Pendek kata tidak ada keinginan untuk hidup selesa dan mewah dalam kamus kehidupan mereka.

2. Mendahulukan keperluan rakyat.
Sepanjang berhadapan dengan sekatan ekonomi antarabangsa setiap sumbangan kewangan yang diterima diperuntukan untuk menampung keperluan rakyat. Bila peruntukan cukup untuk membayar gaji kakitangan awam yang tertunggak selama lebih dari setahun, kerajaan HAMAS mendahulukan kakitangan awam walaupun pegawai-pegawai tinggi dan ahli parlimen tidak dibayar gaji mereka.

3. Tidak pernah diketahui menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng harta rakyat.
Sejak aktivisnya mula bergerak di tengah-tengah rakyat Palestin jauh sebelum tercetusnya peristiwa intifadah, pengerak dan pimpinan HAMAS dikenali dari sifat keikhlasan, ketelusan dan kejujuran mereka. Semua badan-badan NGO antarabangsa termasuk agensi-agensi PBB seperti UNESCO, UNRWA, Red Cross yang mengendalikan keperluan rakyat Palestin boleh mengesahkan rekod cemerlang dan ketelusan badan-badan kebajikan yang diterajui oleh pendokong-pendokong Hamas. Tidak berlaku ketirisan dan penyelewengan seperti yang dialami oleh PPRT di Malaysia. Apabila Hamas diberikan mandat, kepercayaan ini terus dipertahankan. Sejak menang PR bulan januari 2006, tiada satu lapuran pun yang mendakwa pegawai-pegawai dan ahli-ahli parlimen terlibat dengan penyelewengan dana awam.

hamas_in_gaza.jpg

4. Unit keselamatan yang cekap dan berdisiplin.
Sebaik sahaja Hamas memegang kuasa, pasukan keselamatn ‘Executive Force’ dibentuk untuk menjaga aspek keselamatan rakyat. Pasukan ini telah berjaya mengawal keadaan apabila kelompok-kelompok bersenjata yang setia kepada Muhammad Dahlan (Fatah) menimbulkan huru-hara di Gaza. Bahkan kecekapan dan ketangkasan (termasuk dari sudut perisikan) mereka berjaya menundukkan kelompok pelampau seperti suku Daghoush yang menculik wartawan BBC, Alan Johnston. Pasukan keselamatan Hamas berjaya memelihara kepercayaan rakyat, bahkan berjaya mengembalikan keyakinan wartawan barat untuk membuat liputan di Gaza tanpa kerisauan terhadap aspek keselamatan. Bahkan tidak kurang dari 20 ahli parlimen British mengusulkan kepada Perdana Menteri Tony Blair supaya menghubungi Hamas untuk mencari formula penyelesaian terhadap isu Palestin.

5. Tetap teguh mempertahankan prinsip.
Hamas tidak pernah mengubah pendiriannya dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin. Bagi Hamas, hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka, hak untuk mendirikan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan sempadan yang diputuskan oleh PBB berdasarkan resolusi 242 pada tahun 1967 dengan Baitul maqdis sebagai ibu negara adalah ‘inalienable rights’ (hak asasi yang tidak boleh dipersoalkan) bahkan di iktiraf berdasarkan Piagam PBB, Deklarasi hak asasi manusia sejagat 1948. Sikap Hamas yang menolak sebarang kompromi untuk menggadaikan prinsip-prinsip ini menjadi sebab untuk rakyat Palestin memberikan mandat kepada Hamas dan mempertahankannya meskipun berhadapan dengan kepungan dan kemungkinan berlakunya tragedi kemanusiaan yang parah. Pendirian Hamas dalam mempertahankan hak rakyat Palestin ini terbukti apabila semua usaha-usaha perdamaian yang matlamatnya hanya untuk memperakui hak Israel untuk terus menduduki Tebing Barat da Baitul Maqdis Timur, yang ditaja oleh Amerika dan Israel berakhir dengan kegagalan termasuklah perjanjian Oslo 1993, Usaha Damai (Road Map) 2005 dan terkini Konferens Annapolis 2007.

6. Berusaha ke arah perpaduan nasional.
Hamas tidak pernah melihat kemenangannya dalam PR legislatif Palestin sebagai kemenangan di atas lawan politik mereka. Bagi Hamas kemenangan yang dicapai adalah kemenangan rakyat Palestin untuk mempertahankan hak dan kedaulatan negara Palestin. Kerana itu langkah pertama yang diambil oleh Hamas sebaik diistiharkan sebagai pemenang ialah dengan mempelawa Fatah untuk bersama membentuk kerajaan (meskipun Hamas hampir memenangi 2/3 kerusi, 62% dari bilangan kerusi yang dipertandingkan). Bahkan Hamas turut mempelawa kelompok-kelompo yang lain seperti PFLP, Jihad Islami, The third way bersama menerajui kerajaan Palestin. Bagi Hamas projek membebaskan bumi Palestin adalah projek nasional dan dengan itu harus digerakkan oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira affiliasi politik. Malangnya tawaran ini ditolak mentah-mentah oleh Presiden Mahmud Abbas dan kalangan tertentu pimpinan Fatah. Hamas tidak berputus asa dan tetap mencari formula penyelesaian meskipun terpaksa berhadapan dengan pengkhianatan setengah pemimpin Fatah yang berkerjasama dengan Amerika untuk menggagalkan kerajaan Hamas. Akhirnya kerja keras semua pihak melahirkan sebuah kerajaan perpaduan nasional pada bulan Mei 2007. Malangnya kerajaan perpaduan nasional yang menggabungkan dua parti terbesar Hamas dan Fatah natijah dari persetujuan yang dimeterai di Mekah terongkai, sekali lagi oleh tangan-tangan jahat yang dipelopori oleh kelompok Fatah yang berkepentingan. Sehingga saat ini, dalam keadaan terkepung usaha untuk mencari titik penyelesaian terhadap isu perpaduan ini masih diteruskan.

7. Penyebaran maklumat untuk membentuk pandangan umum antarabangsa.
Hamas sentiasa berusaha untuk menerangkan formula penyelesaian politiknya ke atas konflik Palestin. Sebaik sahaja Hamas memenangi PR, semua serangan ‘berani mati’ (amaliyah ishtihadiyah) dihentikan. Bagi Hamas kemenangan dalam PR dan berada dalam posisi sebuah kerajaan yang sah mewakili rakyat membuka ruang yang amat luas untuk Hamas menawarkan program politiknya untuk menyelesaikan isu Palestin. Untuk ini Hamas telah menggunakan semua kesempatan termasuklah menjelas dasar-dasar Hamas kepada negara-negara Arab, Kesatuan Eropah dan negara-negara Islam. Hamas juga menggunaan semua saluran media untuk menjelaskan pendekatan Hamas untuk mencapai satu persetujuan yang terhormat. Meskipun tidak mendapat sebarang reaksi dari Israel, hamas tetap mengistiharkan gencatan senjata sehala (unilateral cease-fire) di mana kerajaan Hamas akan menahan diri dari melakukan serangan balas ke atas tindakan ketenteraan Israel menceroboh Gaza (kecuali untuk tujuan pertahanan). Hamas turut menawarkan genjatan senjata jangka panjang atau ‘hudna’ sekiranya Isreal bersetuju untuk berundur dari Tebing Barat, baitul Maqdis timur dan menghentikan kepungan ke atas Gaza termasuk mengosongkan semua penempatan Yahudi di atas wilayah yang diduduki pada tahun 1967. Hamas memberi keyakinan bahawa kemanan yang berpanjangan di Palestin dapat diwujudkan jika gencatan senjata ini menjadi kenyataan. Namun desakan untuk mengiktiraf Israel tidak perlu diteruskan kerana ia adalah suatu yang tidak mungkin samada dari sudut umat Islam bahkan sudut kemanusiaan sejagat. Semua program politik Hamas disiarkan dalam laman-laman web termasuklah saluran media barat meskipun ruang yang diberikan begitu sempit.

8. Sokongan NGO dan civil society.
Hamas juga tidak boleh bertahan lama jika ia hanya bergerak sebagai sebuah parti politik (Reform and Justice Party). Sokongan NGO-NGO yang beroperasi dalam Palestin dan di luar Palestin adalah satu sumber kekuatan bagi Hamas. NGO ini samada digerakkan oleh aktivis, penyokong dan simpatisan Hamas atau oleh ‘civil society’ berjaya menampung sebahagian dari keperluan ekonomi, pendidikan, sosial dan kesihatan rakyat Palestin. Ribuan NGO yang memberi fokus kepada pelbagai keperluan lapisan masyarakat samada pelarian atau penduduk Palestin. Ada NGO yang membela anak-anak yatim, ada yang membela ibu tunggal, ada yang memberi tumpuan kepada aspek pendidikan, bahkan ada yang menumpukan kebajikan kepada imam-imam masjid, bahkan ada yang membantu sukarelawan yang meladeni pelarian. NGO-NGO ini turut berpusat di negara-negara Arab, Eropah, Amerika bahkan di Malaysia dan Indonesia. Pertubuhan-pertubuhan NGO yang aktif memperjuangkan hak rakyat Palestin di Malaysia ialah JIM-international, PACE (Pusat Kecemerlangan Palestin) dan Aman Palestin. Di Indonesia, NGO yang khusus dibentuk untuk memperjuangkan isu Palestin termasuklah KISPA dan COMES. NGO-NGO ini berfungsi me,bangkitkan kesedaran masyarakat untuk membantu rakyat Palestin di samping menyalurkan maklumat yang sahih tentang perkembangan isu Palestin. Di samping itu NGO-NGO ini juga turut memberi tekanan kepada kerajaan masing-masing agar tidak menyokong mana-mana usaha yang ditaja oleh Amerika untuk mengkhianati hak rakyat Palestin.

Inilah di antara kekuatan yang dimiliki oleh Hamas sehingga ia mampu bertahan meskipun saat ini Israel telah mengenakan kepungan paling dahsyat yang pernah kita saksikan. Bermula dengan penutupan pintu masuk utama barangan di Karni (tiada pergerakan barangan keluar dan masuk ke Gaza), disusuli pula dengan pemberhentian bekalan minyak, kemudian pemotongan bekalan elektrik dan terakhir menghentikan bekalan klorin untuk tujuan rawatan air minuman. Dalam saat-saat rakyat Gaza berdepan dengan tragedi yang parah ini, mereka terus memberikan sokongan kepada Hamas tanpa goyah sedikit jua.

Pastinya banyak yang boleh dipelajari oleh mana-mana kerajaan di dunia ini terutama kerajaan yang baru mendapat mandat dari rakyat.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE (Pusat Kecemerlangan Palestin)
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)


Actions

Information

One response

14 04 2008
Raf

ya Allah, teruk gila diorg ni.., jazakallah.

Leave a comment